Perak belum muktamad keputusan jual air mentah kepada Pulau Pinang

Bernama
Mac 31, 2021 21:29 MYT
Saarani (tengah) melihat proses pendaftaran vaksin secara manual ketika hadir di Majlis Santai Mesra Masyarakat Orang Asli di Padang Kampung Suak Padi, Bota, 31 Mac, 2021. --fotoBERNAMA
PARIT: Kerajaan negeri masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai penjualan air mentah kepada Pulau Pinang.
Sebaliknya Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sedang memberi keutamaan penyaluran sumber berkenaan ke kawasan domestik, terutama di daerah Kerian terlebih dahulu.
"Pada peringkat ini, kita sedang mengkaji sama ada air Sungai Perak mencukupi atau tidak untuk kegunaan domestik. Kita hendak tolong petani dan pesawah di daerah Kerian, kerana mereka selalu terputus (bekalan) air, (pada) musim kemarau.
"Tiada keputusan muktamad. Kita kena kaji dulu (jual air ke Pulau Pinang). kerana keperluan yang mendesak ini adalah untuk kegunaan petani di daerah Kerian," katanya selepas merasmikan Pusat Digital Komuniti Lambor di Pejabat Penghulu Mukim Lambor, di sini.
Terdahulu, Saarani turut melawat Jambatan Lambor yang menghubungkan Kampung Lambor Kiri dan Kampung Lambor Kanan merentasi Sungai Perak, Ladang Ternakan Ayam Kampung Dusoon Sara Farm di Lambor Kanan dan merasmikan Majlis Santai Mesra bersama Orang Asli di Kampung Suak Padi, di sini.
Ditanya mengenai sekiranya masih terdapat perbincangan dengan kerajaan Pulau Pinang mengenai penjualan sumber air itu, Saarani berkata beliau pernah berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini secara tidak rasmi, dan beliau masih menyatakan hasrat untuk membeli air mentah berkenaan.
"Beliau (Kon Yeow) menyatakan hasrat dia, malah saya difahamkan kerajaan sebelum ini telah ada perbincangan awalan tetapi pendirian kita tetap sama, belum ada muktamadnya kerana kita belum buat kajian," tambahnya.
-- BERNAMA
#Menteri Besar #Ketua Menteri #kerajaan #menteri #bekalan air #air mentah #Perak #pulau pinang #Jambatan Lambor #Saarani Mohamad #petani #kerian #Chow Kon Yeow #sungai perak #kemarau #jual air #beli air