TANJUNG MALIM: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk dalam masa terdekat bertujuan menilai semula aspek keselamatan bagi pengoperasian kuari di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri selaku entiti yang terlibat secara langsung dalam isu berkenaan.

"Semalam, kita (Kerajaan Perak) putuskan keperluan untuk melaksanakan satu tindakan yang akan diatur oleh satu jawatankuasa khas berkaitan aspek keselamatan di tapak kuari ini.

"Kita bimbang disebabkan pada ketika ini musim hujan dan kita tidak tahu apa yang berlaku di kawasan berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muallim Speed Lane: Projek Kelulusan Pembinaan Secara Pantas Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga tidak hanya menyentuh kepada isu keselamatan di kawasan kuari malah membabitkan kawasan berisiko berlaku kejadian tanah runtuh.



SAARANI-KUARI 2(AKHIR) TANJUNG MALIM



Selasa lepas, dalam kejadian terbaharu, seorang lelaki yang juga pekerja asing maut apabila terperangkap dalam runtuhan batu di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing menggesa kerajaan negeri bertindak segera termasuk menghentikan aktiviti pengkuarian bagi menangani kes-kes kematian di tapak kuari yang berlaku berulang kali.

Tan turut mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas yang melibatkan agensi dan jabatan berkaitan bagi menyiasat dan mengemukakan laporan siasatan secara terperinci berkaitan kejadian tersebut.

Sementara itu, Saarani turut mengingatkan pengusaha kuari supaya menitikberatkan aspek keselamatan dalam memastikan tiada lagi insiden kehilangan jiwa berlaku.

"Sebagai contoh, kalau ketika hujan lebat sepatutnya dihentikan apa jua aktiviti di tapak kuari dan itu adalah garis panduan yang ditetapkan. Slogan 'safety first' (utamakan keselamatan) itu perlu sentiasa dalam ingatan pengusaha," katanya.

-- BERNAMA