KAMPAR: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sistem tagal di daerah Kampar sebagai langkah pemuliharaan sumber perikanan sungai yang turut berpotensi mempromosikan aktiviti eko-pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata cadangan itu akan dibincangkan secara lanjut bersama Jabatan Perikanan Negeri Perak, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.
“Kampar khususnya mempunyai banyak aliran sungai kaya dengan pelbagai spesies ikan tempatan seperti tengas, sebarau dan sebagainya. Dengan adanya sistem tagal ini, ia membantu memulihara populasi ikan serta memastikan kelestarian ekosistem sungai.
“Secara tidak langsung, sistem yang berteraskan pengurusan sungai secara komuniti ini mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di Kampar, sepertimana di Sabah menerusi pemuliharaan ikan pelian atau kelah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Randuk For Lampam Volume 5 di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah turut menyempurnakan pelepasan 5,150 benih ikan baung kuning dan lampam sungai sebagai gimik perasmian pertandingan berkenaan.
Selain itu, Mohd Azlan berkata kewujudan sistem berkenaan juga membuka ruang dan peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat menerusi pembangunan aktiviti ekopelancongan khususnya berteraskan sumber perikanan.
Berkaitan program hari ini, beliau berkata pertandingan anjuran Pertubuhan Pemancing Layang Negeri Perak yang memasuki edisi kelima itu disertai 150 peserta dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, pertandingan melibatkan laluan sepanjang kira-kira 15 kilometer bermula dari Kampung Jahang, Gopeng hingga Kuala Dipang di sini dengan peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan zon meliputi jarak sekitar 1.5 kilometer.
“Pertandingan ini mengetengahkan teknik fly fishing sebagai kaedah utama, dengan spesies lampam yang berjaya ditangkap peserta menjadi ukuran dalam penentuan markah pertandingan,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan turut diserikan dengan pelepasan 15,000 benih ikan baung dan ikan lampam sebagai usaha menyokong pemuliharaan sumber perikanan sungai.
-- BERNAMA