KUALA LUMPUR:Subsidiari milik penuh Perak Corporation Bhd (PCB), PCB Development Sdn Bhd telah memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) saling bersyarat yang berasingan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi cadangan penjualan tanah di Perak yang bernilai RM78.7 juta.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata PERKESO akan membeli empat keping tanah komersial dan satu tanah kediaman di Kinta, Perak.

"Cadangan pelupusan ini memberi ruang kepada kumpulan bagi mengumpul tunai yang boleh disalurkan ke arah operasi perniagaan dan membolehkan kumpulan membuat pembayaran balik pinjaman bank," katanya.

Sementara itu, PCB juga bercadang untuk melaksanakan Cadangan Skim Pengaturan berdasarkan Seksyen 366 akta berkaitan bagi penyelesaian liabiliti dan obligasi hutang syarikat skim yang tertunggak.

Pemiutang skim yang akan dimasukkan ke dalam Cadangan Skim Pengaturan ini, hendaklah terdiri daripada mereka yang telah membuktikan tuntutan mereka, termasuk tuntutan tersebut diketahui, tidak diketahui secara semasa, kontinjen atau sebaliknya, serta apa-apa jaminan korporat yang telah membeku sehingga pada 30 Jun 2020 (tarikh akhir).

Pada tarikh tamat tempoh, liabiliti tertunggak agregat yang akan diselesaikan oleh syarikat-syarikat skim di bawah Cadangan Skim Pengaturan, berjumlah kira-kira RM858.37 juta.

PCB berkata Cadangan Skim Pengaturan ini adalah cadangan komprehensif yang bertujuan untuk menyusun semula kemampuan kewangan kumpulan dengan menstruktur semula pembayaran balik hutang disebabkan oleh Pemiutang Skim serta beban perkhidmatan faedah yang berbangkit.

"Ini akan meringankan beban kewangan PCB dan membolehkan kumpulan memberi tumpuan untuk memulihkan perniagaannya," tambahnya.

-- BERNAMA