Perak guna dron pantau penerokaan tanah haram

Astro Awani
September 30, 2016 04:05 MYT
Penolong Pegawai Tanah Ahmad Zikril Naim Md Saleh menunjukkan alatan kawalan jauh dron model Dji Inspire yang digunakan untuk tujuan pemantauan pada majlis Penyerahan Drone kepada seluruh Pejabat Daerah dan Tanah. - Foto Bernama
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak akan menggunakan teknologi dron bagi memantau kegiatan penerokaan haram di tanah milik kerajaan negeri terutamanya di kawasan yang tidak boleh diakses menggunakan kenderaan.
Pengarah PTG Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris berkata, 19 PTG seluruh negeri itu akan menerima seunit dron secara berperingkat dalam masa terdekat bagi memastikan kegiatan haram itu dapat diperangi secara habis-habisan.
"Penggunaan dron dapat meningkatkan kecekapan dari segi pengurusan tanah dan penguatkuasaan undang-undang terutama dalam membanteras penerokaan haram di kawasan yang tidak boleh diakses menggunakan kenderaan," katanya pada majlis penyerahan dron itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat May Nayan hari ini.
Menurut beliau lagi, Perak merupakan antara negeri yang mempunyai kes penerokaan tanah secara haram yang tertinggi di negara ini pada tahun lalu.
Kata beliau walaupun pihak PTG telah mengurangkan jumlah tersebut kepada lebih 50 peratus pada tahun ini, namun usaha-usaha memerangi kegiatan haram itu akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Syed Mokhtar memberitahu pada fasa pertama penggunaan teknologi dron itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM187,500 untuk membeli 15 unit dron dengan harga seunit RM12,500.
Pada fasa pertama, dron tersebut yang berharga RM12,500 seunit akan diserah kepada 12 daerah besar dan PTG sebelum diperluas kepada enam lagi daerah kecil menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata antara daerah yang mempunyai banyak penerokaan haram adalah Batang Padang, Kampar, Kinta dan Manjung.
#dron #pejabat tanah dan galian #penerokaan tanah haram #PTG Perak