IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedang mengkaji cadangan mewujudkan zon makanan bagi gajah (food bank) sebagai satu daripada usaha mengurangkan gangguan haiwan liar itu terhadap aktiviti manusia, kata Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim.
Teh berkata kajian mewujudkan zon berkenaan akan melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan akan membabitkan penyediaan kawasan penampan yang mempunyai sumber makanan bagi membolehkan gajah berada di habitat sesuai.
“Sekarang, kita sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan zon makanan atau kawasan penampan di tempat gajah berkeliaran supaya haiwan itu boleh berada di kawasan berkenaan,” katanya ketika sidang media majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) dan Hari Ozon Sedunia 2026 peringkat negeri Perak di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Menjelas lanjut, Teh berkata lokasi yang sesuai masih belum dikenal pasti dan kajian lanjut diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata gangguan gajah turut dipengaruhi oleh pertambahan populasi haiwan itu, selain kawasan riadah yang semakin terhad dan faktor bermusim termasuk ketika musim buah-buahan.
Pada Khamis lepas, Bernama melaporkan 12 pekebun yang merupakan anggota Persatuan Pengusaha-Pengusaha Tanah Pertanian Bukit Bangkong merayu supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah gajah liar yang menjejaskan kira-kira 9.7 hektar kawasan pertanian mereka.
Kehadiran mamalia berkenaan dikesan sebanyak tiga kali, iaitu pada 27 Sept, 3 Okt dan 11 Okt lepas, sejak kawasan pertanian berkenaan mula diusahakan pada 2018.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penerimaan orang ramai terhadap larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di Perak sebagai menggalakkan, yang melibatkan premis tetap seperti pasar raya besar, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan farmasi.
“Larangan yang berkuat kuasa pada 1 Sept lepas itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan penggunaan plastik, malah membentuk kesedaran dan tabiat yang lebih mesra alam dalam kalangan masyarakat," katanya sambil menambah pendekatan pendidikan dan kesedaran masih diteruskan, manakala penguatkuasaan secara lebih serius belum dilaksanakan ketika ini.
Beliau berkata kerjasama peniaga, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar, manakala pengguna boleh memainkan peranan dengan membawa beg guna semula, mengurangkan penggunaan plastik dan memilih barangan yang lebih mesra alam.
-- BERNAMA