TELUK INTAN: Hujan lebat yang berlaku malam tadi menyebabkan Lorong Imam Khairi Batu 9, di sini, dilanda banjir awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.35 pagi.
Menurutnya, setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan di lokasi didapati berlaku banjir melibatkan penempatan penduduk dengan anggaran paras air setinggi 0.8 meter dan terdapat mangsa yang memerlukan bantuan untuk keluar dari kawasan tersebut.
“Kerja-kerja pemindahan mangsa yang terjejas dari kawasan banjir ke tempat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Cangkat Jong Batu 8 telah di lakukan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, lapan mangsa terdiri daripada dua lelaki, tiga wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, ketua operasi melakukan size up dan mengarahkan anggota untuk membantu memindahkan mangsa yang terjejas dari kawasan banjir ke tempat yang selamat di Dewan Orang Ramai Changkat Jong Batu 8.
“Ketua operasi lapor operasi tamat sepenuhnya dan seterusnya memaklumkan jentera bersama anggota akan bersedia di balai dan melakukan pemantauan dari masa ke semasa,” ujarnya.
Operasi yang melibatkan lapan anggota tamat jam 5.30 pagi.