[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Perak laksana kajian menyeluruh sebelum wajib konsep 'bina dan jual' projek perumahan baharu

Bernama 26/11/2025 | 03:30 MYT
Sandrea Ng berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedang melaksanakan kajian menyeluruh dan libat urus bersama pelbagai pihak berkaitan sebelum mewajibkan konsep 'bina dan jual' (BTS) bagi projek perumahan baharu untuk mengurangkan risiko pembeli terperangkap dalam projek sakit atau terbengkalai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata terdapat beberapa faktor yang perlu diteliti secara lebih mendalam, antaranya kekukuhan kewangan pemaju, khususnya pemaju berskala kecil dan sederhana.

"Ini kerana kerana BTS memerlukan modal permulaan jauh lebih besar. Selain itu, faktor risiko kenaikan harga rumah sekiranya pemaju memindahkan kos pembiayaan awal kepada pengguna, selain kesediaan rantaian industri seperti pembiayaan bank, kawal selia, serta insentif yang diperlukan agar pelaksanaan BTS dapat dijalankan secara mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Steven Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) yang bertanyakan adakah kerajaan negeri bercadang melaksanakan konsep BTS bagi projek perumahan baharu di negeri Perak, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Selain itu, Sandrea berkata faktor keserasian dengan pasaran perumahan di Perak, termasuk permintaan, kemampuan rakyat, dan struktur industri pemajuan negeri juga perlu diambil kira.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebagai persediaan awal, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) selaras dengan hala tuju nasional telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama pemaju, institusi kewangan, persatuan hartanah dan pemain industri.

"Selain mendapatkan maklum balas mengenai keperluan, cabaran dan model kewangan yang sesuai; menjalankan kajian dalaman ke atas beberapa model BTS yang telah berjaya di negeri-negeri lain serta; menilai kesediaan pasaran perumahan negeri untuk pelaksanaan mengikut segmen dan kategori projek.

"Usaha ini penting untuk memastikan sekiranya kerajaan Persekutuan memuktamadkan pelaksanaan BTS secara lebih meluas pada masa akan datang, Perak berada dalam keadaan bersedia, termasuk daripada aspek dasar, mekanisme pelaksanaan, dan kesiapsiagaan industri," katanya.

-- BERNAMA

#bina dan jual #rumah #Sandrea Ng Shy Ching #pemaju perumahan #DUN Perak