IPOH: Perak mahu memperluaskan konsep Pelan Tindakan Bandar Ipoh 2020-2030 ke bandar-bandar di seluruh negeri itu.

Menurut Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad selepas di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), ia akan diperluaskan ke kawasan majlis perbandaran seperti Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar.

Katanya, bandar pintar dimulakan di Ipoh terlebih dahulu kerana ia merupakan ibu negeri di samping telah mempunyai kemudahan infrastruktur yang telah dibangunkan terlebih dahulu.

“Akhirnya kita bukan sahaja mahu ada bandar pintar tetapi juga menjadi negeri pintar,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020-2030 di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Terdahulu di dalam ucapannya Saarani berharap pelan tindakan itu akan menjadi dokumen yang memandu arah MBI supaya ibu negeri Perak itu juga akan menjadi sebuah bandaraya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang tahun 2030.

Menurutnya, bagi tujuan tersebut, beberapa objektif telah distruktur untuk menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandaraya yang mesra dengan penggunaan teknologi maklumat, menyelesaikan masalah perbandaran melalui penggunaan penyelesaian pintar dan menjadikan warga Ipoh sebagai warga yang ceria, sihat, pintar dan mempunyai kemahiran berteknologi.

“Secara amnya, dokumen Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh telah mensasarkan kepada tujuh domain iaitu Smart Living, Smart Environment, Smart Governance, Smart People, Smart Digital Infrastrucure, Smart Economy dan Smart Mobility sebagai solusi kepada 24 cabaran perbandaran dan potensi yang telah dikenal pasti di Bandaraya Ipoh,” ujarnya.

Katanya, pelan tindakan itu telah mengenal pasti 37 projek yang menggariskan empat  fasa pelaksanaan dalam tempoh 10 tahun iaitu merangkumi projek quick win, projek jangka pendek, sederhana dan panjang.

Selain itu, beliau turut berharap pelan itu akan menjadi pemangkin kepada perancangan lebih besar MBI pada masa hadapan, termasuklah rancangan melaksanakan sistem pengurusan bandar secara automatik terutamanya dalam pengurusan sistem trafik, sistem mengenal pasti kekosongan parkir, info cuaca dan mengenai bencana atau banjir kilat di sesuatu lokasi, sistem kutipan sampah, pengurusan saman dan aduan.

“Usaha ke arah tersebut telah mula dilaksanakan di peringkat awal dalam beberapa perkhidmatan seperti Park@Perak, e-Aduan, Bayaran Online, Permohonan Online, dan Pemantauan Bandar Selamat melalui CCTV,” tambahnya.