MALAYSIA

Perak perkasa TVET OKU, lahirkan tenaga mahir berdaya saing

Nursyazwani Saiful Sham 18/08/2025 | 02:30 MYT
Mereka berkata demikian dalam episod khas AWANI Pagi yang memberi pengkhususan terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang memperkenalkan pelbagai program TVET.
IPOH : Inisiatif kerajaan negeri Perak dalam memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dilihat membuka ruang lebih luas kepada mereka untuk berdikari dan menjana pendapatan.

Menurut Pengurus IGB Training & Consultancy, Suriyani Sadri, yang menyediakan modul latihan program TVET OKU, peluang ini memberi sinar baharu kepada golongan berkenaan untuk membina masa depan yang lebih terjamin.

“Dengan adanya TVET OKU ini sangat bagus kepada mereka, sekurang-kurangnya kita ambil mereka supaya meneruskan kehidupan atau kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, bagi mentor TVET OKU, Khairuddin Mazli yang mengambil sijil kemahiran bagi bidang refleksologi, beliau menyatakan bahawa kemahiran yang diperoleh melalui latihan seumpama ini amat bernilai dan tidak semua orang mampu melakukannya.

“Sebab kemahiran ini penting, tak semua boleh buat urutan, jadi inisiatif kerajaan negeri Perak ini boleh buat kita untuk mencari punca pendapatan kita tanpa kita bergantung kepada sesiapa,” jelasnya.

Mereka berkata demikian dalam episod khas AWANI Pagi yang memberi pengkhususan terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang memperkenalkan pelbagai program TVET.

AWANI Pagi: TVET Perak | IGB Training buka peluang kerjaya buat OKU

Usaha ini seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan serta peluang pekerjaan melalui laluan kemahiran.

Antara kursus yang ditawarkan termasuk refleksologi, jahitan, kulinari dan teknologi asas komputer, yang dirangka mengikut keperluan pasaran serta kebolehan peserta.

Langkah ini bukan sahaja membantu melahirkan tenaga mahir, malah memastikan golongan OKU terus diberi ruang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.




#OKU #TVET #Perak #Pelan Perak Sejahtera