IPOH: Prihatin dengan kebajikan penghantar makanan, kerajaan negeri Perak membina tempat 'rehat dan rawat rider' (3R) yang lengkap dengan kemudahan ruang rehat, solat, tandas dan wifi percuma.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebagai permulaan, tujuh 3R akan dibina di Bandaraya Ipoh yang melibatkan peruntukan hampir RM500,000.

Menurutnya, pembinaan 3R yang pertama di Malaysia itu adalah penghargaan kepada penghantar makanan yang memainkan peranan penting sebagai antara kumpulan barisan hadapan sejak pandemik COVID-19 bermula tahun lalu.

“Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil inisiatif untuk membina tujuh buah tempat berteduh mereka.

“Jadi nanti waktu-waktu tertentu dia boleh berkumpul di situ, dia boleh berehat di situ, dia boleh berjumpa, boleh berbincang, boleh mesyuarat kecil dan boleh solat.

“Ini satu daripada cara kita memberi penghargaan kepada mereka kerana kita juga harus mengiktiraf para riders ini juga adalah merupakan sebahagian daripada frontliners,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah projek 3R bersebelahan bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, di sini, semalam.

Astro AWANI

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Exco kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Tujuh lokasi 3R yang akan dibina di sekitar Ipoh ialah di pusat bandar, Meru Raya, Jelapang, Tasek, Ipoh Garden, Medan Gopeng dan Station 18.

Kemudahan itu akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 penghantar makanan di Bandaraya Ipoh.

Pembinaan 3R itu adalah sebahagian rancangan kerajaan negeri Perak melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa 5 yang diumumkan pada Disember lalu.

Saarani berkata, 3R itu mungkin dibina di bandar-bandar lain di seluruh negeri, bergantung kepada keperluan.