MALAYSIA
Perak tiada kes baharu ASF, ladang babi kekal beroperasi - Exco

Sebanyak 18 ladang babi terjejas akibat ASF pada 2022 dan 2023 melibatkan 19,335 ekor dan daripada jumlah itu 13 ladang beroperasi semula manakala lima ditutup secara kekal. - Gambar hiasan/ Reuters
IPOH: Kerajaan Perak mengesahkan bahawa tiada kes baharu wabak demam babi Afrika (ASF) sejak 2024 dan situasi semasa adalah terkawal.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak mengesahkan tiada kes baharu demam babi Afrika (ASF) sejak 2024 dan situasi semasa adalah terkawal, walaupun negeri jiran Pulau Pinang sedang dilanda wabak tersebut.
- Sebanyak 18 ladang babi terjejas akibat ASF pada 2022 dan 2023 melibatkan lebih 19,000 ekor, dengan 13 ladang beroperasi semula dan lima ditutup kekal; Perak kini dalam proses beralih kepada perladangan babi moden termasuk lawatan ke China.
- Dalam perkembangan lain, hanya satu kes batuk kokol direkodkan di Perak tahun ini melibatkan bayi dua bulan, menunjukkan penurunan 96.6 peratus berbanding tahun sebelumnya; ibu bapa diseru memastikan anak menerima pelalian lengkap mengikut jadual.
"Maka ini akan mengancam keadaan daging ayam dengan ikan di pasaran. Sekarang pun daging protein yang paling murah di pasaran adalah ayam. Kalau kita menghalang penjualan atau pengeluaran daging babi ini, situasi di pasar akan jadi lebih teruk," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata wabak itu dikesan kali pertama di Perak pada 4 Dis 2021 membabitkan babi hutan dan kemudian di ladang babi Batang Padang pada 27 Mac 2022 dan kali terakhir di ladang Multi Agriculture, Tronoh pada 25 Okt 2023.
Sivanesan berkata sebanyak 18 ladang babi terjejas akibat ASF pada 2022 dan 2023 melibatkan 19,335 ekor dan daripada jumlah itu 13 ladang beroperasi semula manakala lima ditutup secara kekal.
Beliau berkata Perak mengeksport daging khinzir ke negeri lain menyebabkan bekalan untuknya berkurangan dan terpaksa diimport daripada negara luar.
"Jadi apabila hantar kepada negeri-negeri lain, di sini berkurangan dan itu yang berlaku di sini sekarang. Saya akan bertolak ke China esok pagi untuk lihat beberapa ladang di sana sebab kita dalam proses untuk penukaran kepada perladangan babi moden," katanya.
Sementara itu, Sivanesan berkata hanya terdapat satu kes batuk kokol atau pertusis direkodkan tahun ini di Perak iaitu membabitkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan namun tiada wabak dikesan berbanding pada 2024 iaitu empat wabak dilaporkan.
"Ini merupakan penurunan sebanyak 96.6 peratus iaitu sebanyak 29 kes pertusis telah dikesan di Perak pada tempoh sama tahun 2024. Kes ini merupakan bayi berumur dua bulan yang baru sahaja menerima satu dos vaksin DTP sebelum bergejala," katanya.
Beliau menyeru ibu bapa supaya memastikan bayi mereka mendapat pelalian lengkap pertusis pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan seperti yang dijadualkan bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami