Perak wajibkan taska pasang CCTV

Amirrul Rabbani
Mei 23, 2023 12:34 MYT
Salbiah berkata pelaksanaannya diwajibkan di semua Taska yang berdaftar dengan JKM kecuali yang beroperasi di rumah. - Gambar/ DUN Perak
IPOH: Kerajaan Perak mewajibkan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di semua taman asuhan kanak-kanak (taska) sebagai langkah pencegahan kejadian tidak diingini seperti penderaan dan pengabaian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata pelaksanaannya diwajibkan di semua Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali yang beroperasi di rumah.
“JKM sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang melalui Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM terhadap mana-mana taska yang tidak berdaftar dan melanggar Akta dan Peraturan yang ditetapkan di mana taska berkenaan boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya disabit dengan kesalahan.
“Mana-mana pengusaha yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012, boleh diambil tindakan oleh JKM.
“Antara tindakan penguatkuasaan yang dikenakan terhadap taska termasuklah arahan bertulis, tutup sementara, kompaun, pendakwaan, pembatalan perakuan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan yang dikemukakan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dekat sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Salbiah (BN-Temengor) berkata setakat ini sebanyak 225 taska di seluruh Perak yang direkodkan berdaftar dengan JKM Negeri.
Katanya, daripada jumlah berkenaan 112 taska berdaftar terletak di Kinta, Manjung (23), Perak Tengah (19), Larut Matang dan Selama (15), Hilir Perak (13), Kuala Kangsar (11), Kerian (lapan), Batang Padang dan Mualim (masing-masing tujuh), serta Hulu Perak dan Kampar (masing-masing lima).
#Perak #taska #wajib pasang CCTV #DUN Perak
;