Skip to main content

Malaysia

Peralihan ke asrama ubah perkembangan Zara Qairina - Pakar psikiatri

https://www.sinarharian.com.my/article/785306/berita/peralihan-ke-asrama-ubah-perkembangan-zara-qairina-pakar-psikatri
Dr Wong (kiri) ketika hadir untuk memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. Gambar kecil Allahyarham Zara Qairina. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KOTA KINABALU: Pakar psikiatri, Dr Dr Wong Haw Huo berpendapat peralihan Allahyarham Zara Qairina ke sekolah berasrama merupakan perubatan penting dalam perkembangan diri remaja itu.

Dr Wong yang merupakan saksi ke-75 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata demikian selepas meneliti bahan yang disediakan terhadapnya untuk membuat penilaian psikiatri remaja berkenaan.

Saksi menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menjalankan pemeriksaan psikiatri secara langsung terhadap Zara Qairina, justeru pendapat yang dikemukakan adalah bersifat retrospektif berdasarkan rekod yang tersedia, maklumat daripada pihak berkaitan, bahan penulisan, rakaman audio, temu bual serta bahan inkues, termasuk laporan bedah siasat, laporan perubatan, laporan pemeriksaan tempat kejadian, laporan analisis kimia dan dokumen, catatan peribadi, buku nota, gambar, video, bahan berkaitan TikTok, komunikasi digital serta temu bual bersama ibu bapa

Katanya lagi, laporan itu turut meneliti dokumen W1, W2, W3, WK9 dan Y1 hingga Y15 serta rakaman komunikasi digital dan mesej suara antara si mati dengan ibunya.

Menurutnya, setiap bukti dinilai berdasarkan kekuatan dan kelemahannya, dengan perkara yang disokong lebih daripada satu sumber dinilai berbeza daripada maklumat yang hanya disokong satu sumber atau belum disahkan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua inferens dan kesimpulan psikiatri dibuat secara berhati-hati sebagai pandangan klinikal retrospektif, bukannya dapatan fakta yang muktamad.

"Peralihan si mati ke sekolah berasrama merupakan satu perubahan penting dalam perkembangan dirinya. Perubahan itu melibatkan perpisahan daripada individu yang menjadi tempat pergantungan utamanya serta penyesuaian ke dalam persekitaran yang lebih tersusun bersama rakan sebaya.

"Pada peringkat awal penyesuaian di sekolah berasrama, bahan yang diteliti menunjukkan si mati berasa teruja, aktif bergaul, berminat dengan kehidupan di sekolah serta mempunyai komitmen emosi terhadap persahabatan dan aktiviti sekolah.

"Namun, dari semasa ke semasa, bahan tersebut menunjukkan wujudnya corak peningkatan masalah dalam hubungan interpersonal, perasaan ditolak, rasa tidak selamat dalam hubungan sosial, tekanan emosi serta kemerosotan persepsi terhadap keselamatan psikologi dalam persekitaran sekolah berasrama," katanya semasa membaca kenyataan saksinya di sini, hari ini.

Dr Wong turut berkata, Zara Qairina dilihat meletakkan kepentingan emosi yang tinggi terhadap hubungan dengan rakan sebaya dan pelajar senior.

"Beberapa rakan dan pelajar senior dilihat memainkan peranan penting dari sudut psikologi sebagai sumber ketenangan, rasa diterima, pengesahan emosi, pembentukan identiti diri serta harga diri.

"Penulisan yang diteliti memperlihatkan tema berulang berkaitan kebergantungan emosi (attachment), rasa kagum terhadap individu tertentu, kecenderungan mendapatkan kepastian atau sokongan daripada orang lain, ketakutan terhadap penolakan, kebimbangan digantikan oleh orang lain, perasaan cemburu, ketidakstabilan dalam hubungan serta tekanan emosi," katanya.

Tambah beliau, bahan yang ditandakan sebagai W1, W2, W3, WK9 dan Y1 hingga Y15 menunjukkan corak peningkatan kepekaan dalam hubungan interpersonal, kebergantungan emosi terhadap hubungan rapat dengan rakan tertentu serta kesukaran mengawal tekanan emosi apabila hubungan tersebut dirasakan tidak stabil.

"Penulisan itu juga memperlihatkan bahawa si mati masih mempunyai beberapa kekuatan psikologi, termasuk kesedaran terhadap rasa bersalah, kefahaman tentang nilai moral, pendekatan berasaskan agama dalam menghadapi tekanan, unsur humor, sifat suka bermuhasabah serta keinginan berulang untuk memperbaiki diri.

"Dari sudut psikiatri, penulisan tersebut lebih konsisten dengan gambaran seorang remaja yang mempunyai kerentanan psikologi, di mana tindak balas emosinya semakin sukar dikawal dan dipengaruhi oleh kebergantungan terhadap hubungan rapat, bukannya menunjukkan niat jahat atau tingkah laku pemangsa," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement