MALAYSIA
Peralihan tenaga tidak boleh abai golongan miskin - PM Anwar

Anwar berkata, usaha mengurangkan pelepasan karbon tidak seharusnya mengabaikan golongan berpendapatan rendah dan terdedah kepada kemiskinan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga ke arah penyahkarbonan perlu berpaksikan prinsip keadilan, dengan memastikan akses yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat dan tidak mengabaikan golongan kurang berkemampuan.
Ringkasan AI
- Peralihan tenaga ke arah penyahkarbonan perlu adil dan inklusif, tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah atau terdedah kepada kemiskinan.
- Perdana Menteri menekankan bahawa keselamatan tenaga harus merangkumi keadilan sosial, dan industri tenaga perlu melabur dalam kecekapan serta pengurangan pelepasan karbon.
- Anwar menyeru pendekatan seimbang antara tenaga boleh diperbaharui dan minyak serta gas rendah karbon bagi memastikan akses tenaga yang mampu milik dan menyokong pembangunan rantau Asia.
“Justeru itu, keselamatan tenaga mesti merangkumi bukan sahaja kestabilan bekalan, tetapi juga keadilan sosial dan akses yang inklusif,” katanya.
Tambah beliau, industri tenaga seharusnya melabur dalam usaha meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada.
“Satu tugas yang amat mencabar memandangkan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus daripada bekalan tenaga global,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keterjaminan tenaga kekal sebagai prasyarat yang penting kepada kemajuan di rantau Asia.
“Ketika rantau ini bersedia menghadapi kebangkitan ekonomi, laluan menuju sasaran sifar bersih mesti mengiktiraf bahawa tenaga boleh diperbaharui boleh dilengkapi dengan minyak dan gas yang telah dikurangkan pelepasannya.
“Pendekatan yang seimbang ini memastikan akses tenaga yang mampu milik, yang amat penting untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami