SERDANG: Peranan Astro AWANI dalam mengangkat wacana akademik dan penyelidikan melibatkan pelbagai sektor, diiktiraf pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, malam tadi.
Antara pengiktirafan yang diterima termasuk Liputan Berita Penyelidikan Tertinggi, serta Penghargaan Khas bagi program bual bicara menerusi program AWANI Pagi.
Advertisement
Anugerah-anugerah tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UPM Prof Datuk Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang turut menyatakan bahawa pihak universiti amat menghargai peranan besar media sebagai rakan strategik.
AWANI Pagi, antara program utama Astro AWANI kerap mengetengahkan hasil penyelidikan akademik termasuk penyelesaian moden terhadap permasalahan semasa yang memerlukan aspek pengkormesilan.
“Kita menghargai pihak media kerana membantu visibiliti universiti. Tanpa media, impak yang diberikan oleh Universiti Putra Malaysia tidak sama seperti yang telah berlaku,” kata Ahmad Farhan ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Sementara itu, Ahmad Farhan turut memaklumkan, kejayaan UPM membangunkan beberapa pelan tinadakan penting, termasuk berkaitan kesihatan planet dan kelestarian serta keterjaminan makanan.
Menurutnya, inisiatif tersebut jelas membuktikan keupayaan UPM dalam menghasilkan rujukan berimpak tinggi yang bukan sahaja digunakan di peringkat nasional, malah turut dirujuk di rantau Asia Tenggara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen universiti untuk terus memperkukuh kerjasama dengan media dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan masyarakat.