Kementerian Pertahanan menumpukan aspek struktur, koordinasi dan perancangan bagi memastikan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Malaysia Timur (ESSZONE) digerakkan sepenuhnya.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia penting bagi mempertingkat keselamatan di 10 daerah di bawah ESSCOM dan ESSZONE.

"Saya sendiri sebagai Menteri Pertahanan belum berpuas hati dari segi struktur, koordinasi dan perancangan untuk mempastikan 10 daerah di bawah ESSCOM dan ESSZONE dapat digerakkan dengan sepenuhnya.

"Keperluan untuk bertindak segera mesti disuntik dalam kalangan yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Umno Libaran di sini hari ini.

Sepuluh daerah itu adalah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Untuk tujuan itu, Hishammuddin berkata beliau akan berbincang dengan pihak tertinggi kerana Majlis Keselamatan Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah meminta ESSCOM dan agensi terlibat untuk memberikan laporan terkini berhubung perkembangan di 10 daerah tersebut.

Katanya, strukur dan kordinasi yang diperlukan itu membabitkan asset peralatan dan keanggotaan.

Menurutnya aspek perancangan pula dalam konteks kerjasama antara orang ramai, ketua kampung, ketua masyarakat, jawatankuasa masjid dan nelayan.

“Mereka ini berada di barisan hadapan pertahanan di samping anggota Rela Jabatan Pertahanan Awam dan pihak sukarelawan yang lain,” katanya.

Hishammuddin berkata pada masa sama, infrastruktur persiapan dan risikan kini berada pada tahap tinggi bagi mengelakkan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo di Felda Sahabat, berulang.

Katanya Ops Sanggah di Gugusan Felda Sahabat masih diteruskan dan asset tempur serta kekuatan dua batalion Angkatan Tentera Malaysia masih ditempatkan di kawasan itu, manakala di kawasan perairan, Ops Pasir tetap berjalan seperti biasa.

Beliau berkata proses pewujudan kem batalion Infantri di Kudat, Felda Sahabat, Lahad Datu dan Semporna akan diteruskan.

"Apabila siap kelak dan penduduk Sabah melihat sendiri pewujudannya, kita akan umumkan," kata Hishammuddin.