Malaysia mempunyai kemampuan untuk terus menarik pelaburan asing bernilai tinggi walaupun perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China berterusan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking berkata, pihaknya dalam masa sama sentiasa berusaha meningkatkan perdagangan Malaysia antara kedua-dua negara.

Jelasnya, peningkatan pelaburan ini membuktikan bahawa Malaysia masih merupakan destinasi pilihan bagi pelaburan strategik di rantau ini.

“Kerajaan sentiasa merangka strategi dan mencari jalan terbaik bagi menggiatkan usaha untuk mengurangkan risiko krisis perdagangan antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.

“Antaranya, usaha khusus telah disasarkan terhadap syarikat-syarikat yang beroperasi di Republik Rakyat China untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran serantau alternatif khususnya bagi pasaran Amerika Syarikat,” katanya

Darell menjawab pertanyaan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN - Kota Tinggi) yang ingin tahu adakah Malaysia akan terheret sama dalam persaingan perdagangan antara AS dan China.

Dalam pada itu, Darell berkata, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada tahun 2018 dengan jumlah perdagangan pada tahun 2018 meningkat 1.2 peratus kepada RM155.76 bilion berbanding RM153.95 billion pada tahun 2017.

Jumlah eksport ke Amerika Syarikat pula berjumlah RM90.81 bilion manakala jumlah import bernilai RM64.95 bilion.

Sementara jumlah perdagangan Malaysia dengan China pada tahun 2018 mencecah RM313.81 bilion, dengan pecahan eksport dari Malaysia ke negara itu sebanyak RM 138.9 bilion.

Manakala jumlah import dari China pula adalah sebanyak RM 174.9 bilion.