Perang dagang antara Amerika Syarikat dan China telah memberi kesan langsung kepada negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pacific (APEC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata manfaat daripada perdagangan yang adil dan bebas serta integrasi ekonomi telah musnah.

“Cabaran pada ketika ini adalah untuk pastikan tiada siapa ketinggalan lantaran terjejas akibat tindakan ini. Ada yang mungkin perlahan dan mungkin ada juga yang pantas.

“Namun bila kita faham dan tahu hala tuju, ia akan terus bergerak ke harapan. Namun kita perlu pastikan kesan itu tidak menyebabkan jurang tidak sama rata makin meluas.

“Ini kerana jurang tidak sama rata itu akan menjejaskan pertumbuhan selain memberi kesan negatif kepada keseimbangan sosial,” ujar beliau pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2018 di sini hari ini.

Justeru, beliau menggariskan empat polisi kepada ketua negara anggota APEC dalam mendepani cabaran global pada masa kini.

“Pertama, mewujudkan polisi yang memastikan teknologi mudah diakses dan berpatutuan untuk rakyat. Mudah diakses dan berpatutan merupakan kunci kepada proses adapts teknologi baharu.

“Kedua, polisi yang diwujdukan mesti mengambil kira kepada mereka yang ‘terpinggir’. Ia termasuk mereka yang vekerja di kedai batu bata, pemandu teksi, hotel kecil dan pekerja yang terjejas akibat cabaran teknologi mestilah tidak terus dipinggirkan. Setiap negara perlu melabur dalam teknologi terkini.

“Ketiga, wujud kehendak untuk membangunkan sesebuah negara dari segi fisikal dalam mendepani cabaran itu. Pelaburan dalam infrastruktur seperti 5G boleh dibangunkan menerusi kerjasama pelbagai pihak.

“Keempat, mesti wujudkan kerjasama di peringkat antarabangsa berkenaan bagaimana cara terbaik untuk menguruskan gangguan teknologi,” katanya.


Katanya, negara-negara anggota APEC perlu sedar bahawa dalam era yang penuh gangguan ini, kerjasama yang adil dan tulen antara negara maju dan sedang membangun akan membantu anggota APEC menangani gangguan tersebut.