KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan baja kepada pasaran minyak sayuran global akan menjadi salah satu kesan ketara selepas Rusia mengebom sebuah kilang besar dan eksport serantau disekat, kata Pengerusi LMC International Ltd Dr James Fry.

Beliau berkata perang Rusia akan memberi kesan meluas dan gangguan bekalan baja merupakan satu daripadanya.

"Kapasiti baja telah dimusnahkan...Rusia, Belarus dan Ukraine merupakan pengeksport baja yang sangat besar dan ini akan membawa kesan yang ketara terhadap kos pengeluaran dan ketersediaan tanaman," katanya ketika pembentangan hari ketiga Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik yang dihoskan oleh Bursa Malaysia pada Rabu.

Mengenai petroleum, Fry meragui Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum akan mengimbangi kerugian pasaran Rusia.

"China tidak boleh secara tiba-tiba mahu bertukar kepada bekalan saluran paip Rusia dan oleh kerana itu, harga minyak mentah Brent akan kekal tinggi," katanya, dan menambah penanaman bunga matahari dan jagung, yang akan bermula tidak lama lagi, akan menurun di Rusia dan Ukraine.

Awal minggu ini, harga minyak mentah Brent melonjak kepada US$137 setong.

"Saya mengandaikan harga minyak mentah Brent akan didagangkan dalam julat antara US$130 dan US$150 setong.

"Minyak sawit mentah pula didagangkan antara US$1,700 dan US$2,100 setan sehingga Julai (US$1=RM4.19) manakala pada suku ketiga dan suku keempat ia akan diniagakan antara US$1,600-US$1,800 setan," katanya.

Ukraine dan Rusia merupakan pengeluar utama minyak bunga matahari dunia, masing-masing menyumbang 7.3 juta tan dan 5.8 juta tan pada 2020.

Kedua-dua negara ini bersama-sama menyumbang hampir 73 peratus daripada perdagangan eksport minyak bunga matahari.

Veteran perladangan itu juga berkata bahawa inflasi akan menjadi lebih teruk disebabkan kekurangan minyak sayuran, menyebabkan bank pusat Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah untuk mengawal aktiviti ekonomi seboleh mungkin untuk membantu mengehadkan permintaan terhadap bekalan makanan dan bahan api yang berkurangan.

-- BERNAMA