NATIONAL
Perang tarif global: Malaysia di persimpangan, Washington jadi medan rundingan

Tatkala ramai yang mengambil tindakan untuk memfokuskan ke arah perbincangan dan rundingan dengan Washington, Beijing bertindak mengenakan tarif timbal balas semula ke atas produk AS yang masuk ke negara tersebut. - Gambar Reuters
DUBAI: Dunia terus berdepan ketidaktentuan sejurus Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik yang disifatkannya sebagai langkah melindungi kepentingan ekonomi negara itu.
Langkah itu juga sebagai apa yang dikatakan bagi mengimbangi perdagangan antara negara luar dengan AS kerana banyak negara mencatat defisit dagangan dengan negara Uncle Sam itu.
Sejurus pengumuman itu, ramai dalam kalangan pemimpin utama dunia memberi reaksi segera namun fokus semestinya terarah kepada musuh tradisi AS dalam sektor perdagangan, China.
Tatkala ramai yang mengambil tindakan untuk memfokuskan ke arah perbincangan dan rundingan dengan Washington, Beijing bertindak mengenakan tarif timbal balas semula ke atas produk AS yang masuk ke negara tersebut.Sebagai tindak balas agresif, China menaikkan tarif ke atas produk AS sehingga 125 peratus, manakala Presiden Trump pula menaikkan tarif ke atas barangan dari China kepada 145 peratus namun mengenakan tempoh penangguhan 90 hari bagi tarif ke atas produk dari negara-negara lain.
Unjuran impak tarif timbal balik ke atas Malaysia
Malaysia tidak terkecuali - AS mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Berdasarkan data yang dikumpul Reuters, Malaysia disenaraikan sebagai negara dengan defisit dagangan bernilai AS$25 billion manakala China sebanyak AS$295 bilion.
Defisit dagangan bermakna Malaysia mengeksport lebih tinggi berbanding import barangan dari AS.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024.
AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Dalam konteks ASEAN, jumlah tarif yang dikenakan terhadap Malaysia lebih rendah berbanding beberapa negara lain seperti Vietnam (46 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (44 peratus), Thailand (37 peratus), Indonesia (32 peratus), Brunei (24 peratus) dan Filipina (18 peratus).
Namun angka-angka ini tetap diunjur akan memberi kesan jangka panjang yang mampu melembapkan pertumbuhan ekonomi dan merencatkan agenda pembangunan negara.
Berdasarkan laporan Meneliti Potensi Implikasi Ekonomi Tarif Timbal Balik Amerika Syarikat ke atas Ekonomi Malaysia disediakan Center For Future Studies Berhad (The Future), kesan langsung akibat pengenaan tarif timbal balik ini ke atas ekonomi Malaysia adalah signifikan.
Analisis sama menyatakan peningkatan nilai tarif yang besar ini berpotensi menyumbang kepada penyusutan nilai eksport Malaysia ke AS sebanyak RM187.6 billion.
“Jika Malaysia mengambil langkah untuk tidak mengenakan timbal balik tarif, lebihan dagangan Malaysia-AS dijangka menjadi defisit kepada RM108.5 billion pada 2025.
“Peningkatan tarif oleh AS menyebabkan kos barangan Malaysia menjadi lebih mahal, menjadikannya kurang berdaya saing berbanding pembekal domestik atau pembekal asing lain,” katanya.
Analisis sama menyebut ini mengurangkan permintaan daripada pembeli AS, seterusnya mengurangkan eksport Malaysia ke negara itu.
Selain itu, penyusutan dalam nilai eksport Malaysia ke AS dijangka akan mengurangkan penjanaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM32.9 billion.
Akibatnya, kadar penciptaan guna tenaga berkurangan sebanyak 269,000 orang dan penyusutan gaji dan upah dan hasil kutipan cukai tak langsung masing-masing sebanyak RM10.7 billion dan RM0.6 billion.
Tengku Zafrul ke Washington bincang isu tarif
Sebagai usaha menyatakan pendirian negara berkenaan tarif timbal balas yang dikenakan oleh pentadbiran Trump, delegasi Malaysia dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer dan pegawai berkepentingan lain di Washington pada 24 April ini.
Delegasi Malaysia diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut Tengku Zafrul, sebelum ini, langkah ini penting bagi membolehkan Malaysia menerangkan pendirian dan situasi negara serta maklum balas yang diterima daripada Kabinet.
Malah, kata beliau lagi, dalam pertemuan ini Malaysia boleh menjelaskan kedudukannya sebagai sebuah negara yang neutral dan bagaimana ia memainkan peranan penting falam semikonduktor serta elektrik dan elektronik.
Selain itu, pertemuan ini penting bagi menyatakan matlamat negara dalam menyokong industri di AS berbanding memberi ancaman kepada mereka.
Justeru diharapkan pertemuan yang diatur dalam jadual padat selama dua hari ini, akan mampu memberi impak yang signifikan terhadap negara.
Di saat beberapa negara bertindak ambil inisiatif untuk meningkatkan import barangan AS ke negara mereka seperti Indonesia dan Korea Selatan, Malaysia mungkin boleh mengambil langkah sama.
Namun apa pun, kita tunggu dan lihat perkembangan terbaharu yang akan kami kongsikan susulan pertemuan dan perbincangan yang akan diatur sepanjang delegasi Malaysia berada di Washington.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami