Peras ugut pasangan Australia kematian anak, wanita Malaysia didakwa mahkamah

Raja Hisyam Raja Zaid
April 29, 2019 15:16 MYT
Siti Nurhidayah (gambar) dituduh oleh Mahkamah Majistret Ringwood kerana memeras ugut pasangan Jay dan Dee Windross untuk membayarnya bagi mengembalikan semula telefon bimbit mereka yang hilang. - Foto Facebook
TINDAKAN wanita ini memang tidak boleh diterima sama sekali.
Dahlah merantau tempat orang, buat onar pula yang boleh burukkan nama Malaysia.
Siti Nurhidayah Kamal, 24, pada Isnin didakwa oleh Mahkamah Majistret Ringwood di Melbourne, Australia kerana memeras ugut pasangan Jay dan Dee Windross yang ketika itu sedang melalui keperitan.
Menurut laporan media antarabangsa, insiden berlaku selepas pasangan Windross itu mengiklankan kehilangan telefon mereka di media sosial. Mereka meminta sesiapa yang menjumpainya untuk mengembalikan semula kerana ia mengandungi foto-foto bayi mereka, Amiyah, 11 bulan yang ketika itu sedang nazak akibat masalah saraf sejak lahir.
Siti Nurhidayah, seorang penghantar makanan perkhidmatan Uber Eats, kemudian menghubungi pasangan Windross menerusi WhatsApp dan mendakwa dia ada terjumpa telefon bimbit tersebut.
Tetapi menurutnya, jika pasangan itu mahu telefon bimbit mereka semula, mereka perlu memasukkan wang sejumlah AUS$1,000 (RM2,900) ke dalam akaun banknya terdahulu.
Tidak lama kemudian, pasangan Windross mendapat tahu ia satu penipuan.
Lebih menyedihkan, Amiyah kemudian meninggal dunia di Hospital Kanak-Kanak Monash.
Sehingga kini, telefon bimbit tersebut masih gagal dikesan.
Pada Isnin, pihak mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dibuat terhadap Siti Nurhidayah.
Siti Nurhidayah dan suaminya dipercayai tinggal di Australia sejak empat bulan lalu manakala dua anak mereka ditinggalkan di Malaysia.
#Amiyah Windross #Australia #bayi #hilang #Malaysia #meninggal dunia #ringwood #Siti Nurhidayah #uber eats #Windross