KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu berlangsung dalam keadaan tegang seketika pada waktu pagi.

Ketegangan itu berlaku susulan pertengkaran antara peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan seorang saksi yang juga bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ia bermula apabila Muhammad Shafee menyoal Ahmad Husni berhubung tandatangannya yang meluluskan memorandum dan artikel pertubuhan (M&A) Terengganu Investment Authority (TIA).

Ahmad Husni kemudian memberitahu mahkamah, semua dokumen dan surat berkaitan 1MDB dan SRC International sampai ke pejabat Najib terlebih dahulu.

Bahkan, beliau juga memberitahu kedua-dua projek tersebut tidak mengikut porsedur operasi standard (SOP) bagi semua syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Jelasnya, semua yang berlaku datang daripada pihak atasannya dan sebagai Menteri Kewangan II, beliau menurunkan tandatangan kerana hanya menurut perintah.

Beliau beberapa kali mengulangi frasa 'saya hanya menurut perintah' menyebabkan Muhammad Shafee berasa jengkel dan memintanya menjelaskan apakah maksudnya.

Ahmad Husni: Itulah yang telah saya jelaskan kepada anda... anda dengar dengan teliti. Semua surat 1MDB dihantar kepada menteri. Saya hanya perlu tandatangan... saya yang menurut perintah...apa lagi yang boleh saya lakukan. Kedua-dua projek ini iaitu 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tidak mengikut prosedur operasi standard bagi syarikat-syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Semuanya datang dari atas... anda tidak bekerja di sana, anda tidak tahu apa-apa.

Muhammad Shafee: Itulah sebabnya saya bertanya kepada anda... Anda lebih mengetahui.

Ahmad Husni: Jadi, anda mesti lebih faham apa yang saya perkatakan.

Muhammad Shafee: Saya faham apa yang anda katakan. Jangan bergaduh dengan saya, saya yang mengajukan soalan.

Ahmad Husni: Saya tidak bertengkar dengan anda.

Muhammad Shafee: Kamu bergaduh! Jawab sahaja soalan, jangan angkuh.

Ahmad Husni: Saya tidak angkuh!

Muhammad Shafee: Kamu angkuh!

Pada peringkat ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan meminta saksi untuk menjawab soalan yang diajukan oleh Muhammad Shafee.

Saksi membalas: "Yang Arif, beliau cuba menyalahkan orang lain".

Hakim Sequerah: Beliau mempunyai tugas untuk dilaksanakan.

Ahmad Husni: Walaupun disebabkan tugas, beliau seharusnya jujur.

Untuk ini, Hakim Sequerah berkata pihak pendakwaan pasti akan memberi peluang kepada saksi untuk menjelaskan kemudian dan beliau tidak perlu risau tentang perkara itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung.