KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat bagi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan memanggil saksi baharu setelah peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak boleh hadir untuk prosiding pagi esok kerana mempunyai kes di Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee sedang menyoal balas saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan yang akan kembali pada sebelah petang.

Difahamkan bahawa saksi seterusnya ialah ACP Foo Wei Min, yang merupakan ketua pasukan penyiasat jenayah antipengubahan wang haram Bukit Aman pada masa itu.

Foo adalah antara pegawai penyiasat yang melakukan serbuan di unit kondominium milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion, di sini, di mana barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan dirampas kerana dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB pada 17 Mei 2018

Sementara itu, Adam Ariff dalam keterangannya menafikan bahawa beliau hanya mengambil dokumen tertentu dan memilih sumbernya semasa menjalankan analisis jejak wang 1MDB yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Muhammad Shafee mengenai analisisnya berhubung fasa "Aabar-BVI" yang didakwa peguam itu bahawa beliau (Adam Ariff) sengaja meninggalkan bahagian US$233 juta yang kononnya datang daripada penggunaan pinjaman US$975 juta.

Adam Ariff tidak bersetuju dengan saranan Muhammad Shafee bahawa beliau memilih jejak berkenaan setelah diarahkan supaya menganalisis dan mengesahkan apa yang telah dijalankan oleh penyiasat dalam pertuduhan terhadap Najib.

Muhammad Shafee: AS$233 juta di Aabar daripada penggunaan pinjaman US$975 juta....pinjaman itu telah pun digunakan sepenuhnya. Jadi, bayaran daripada Aabar Seychelles bukan daripada pinjaman?

Adam Ariff: Saya tidak setuju.

Semasa prosiding sebelah pagi, Muhammad Shafee mengulangi bahawa pembelaan Najib dalam kes itu ialah bekas perdana menteri menyangka wang yang masuk ke dalam akaunnya adalah daripada Almarhum Raja Saudi.

Muhammad Shafee: Kamu tahu, bekas Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini memberi keterangan bahawa BNM mengambil masa lebih tiga tahun untuk mengetahui sumber dana yang dikreditkan ke dalam akaun Najib. Kamu mengambil masa kira-kira dua tahun ....

Muhammad Shafee: Oleh itu, adalah munasabah untuk Najib tidak mengetahui sumber wang itu kerana BNM pun tidak tahu sumbernya?

Adam Ariff: Saya tiada komen

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA