NATIONAL
Perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng bersambung esok

Guan Eng turut menyatakan kepada saksi pendakwaan, Zarul Ahmad, bahawa pembinaan itu berbeza dengan pembinaan jambatan yang memerlukan banyak kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesyorkan syarikatnya membina terowong dasar laut kerana pembinaan itu tidak melibatkan banyak kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Perkara itu dijelaskan ketika prosiding pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan rasuah berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.
Selain itu, Guan Eng turut menyatakan kepadanya, bahawa pembinaan itu berbeza dengan pembinaan jambatan yang memerlukan banyak kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
Jelas saksi pendakwaan ke-23 itu, dia hanya mengetahui projek terbabit dimasukkan dalam satu permintaan untuk cadangan (RFP) dalam mesyuarat pada 11 Julai 2011.Zarul Ahmad turut bersetuju bahawa perkara itu memberi kelebihan kepada syarikatnya dalam penyediaan RFP, yang dibantu oleh pegawai kerajaan negeri.
Pada 28 Februari lepas, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Kerajaan Pulau Pinang tetap memasukkan projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu dalam dokumen RFP, walaupun ia berdepan kesukaran.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai Kketua Mmenteri Pulau Ppinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad.
Ia bagi tujuan lantikan untuk melaksanakan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek itu.
Guan Eng turut berdepan dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami