SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) selepas salah seorang daripada pasukan pembelaan, Aiman Abdul Rahman dikategorikan sebagai kontak kasual dengan simptom.

Peguam bela, Hamidi Mohd Noh memaklumkan bahawa status MySejahtera Aiman bertukar daripada risiko rendah tanpa simptom kepada kontak kasual dengan simptom pada tengah hari ini.

Katanya, beliau tidak mahu memberi risiko kepada anak guamnya susulan daripada pertukaran status tersebut.

"Saya percaya ia untuk mengurangkan risiko kerana MySejahtera satu petunjuk kepada mereka yang pernah pergi ke tempat-tempat yang berisiko.

"Jika itu berlaku saya percaya, kita perlu mengurangkan kontak. Jadi saya mohon kepada mahkamah untuk menangguhkan untuk saya pastikan status tersebut kerana kita berada di dalam bangunan yang tertutup," katanya memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa kemudian bertanya kepada pihak pembelaan sama ada memerlukan tarikh baharu perbicaraan atau sebaliknya.

Hamidi: Ya, kita tangguhkan pada hari Jumaat.

Hakim kemudian memutuskan menangguhkan perbicaraan hari ini dan bersambung semula pada Selasa ini, seperti tarikh yang dijadualkan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memanggil saksi ketiga, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN), Siti Jalilah Abd Manap untuk memberikan keterangan berhubung kes Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd.

Suapan berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu, melanjutkan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga, iaitu wang tunai S$1,150,000, RM3,000,000, 15,000 Euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.