Perbicaraan semula kes seorang bekas pemandu trak tunda yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi akan bermula pada 16 Mac.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman juga menetapkan 27 hingga 31 Mac dan 22 hingga 26 Mei untuk perbicaraan kes Koong Swee Kwan selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula di hadapan hakim baharu.

Panel lima anggota hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Koong, 47, dan mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi pada 14 Dis tahun lepas.

Koong didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai, 2013.

Mahkamah Persekutuan juga membenarkan rayuan Koong terhadap hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah kerana cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 52, dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula.

Ketika prosiding pada Selasa mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan bersama kerana ia melibatkan saksi yang sama.

Terdahulu Koong mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Koong diwakili peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Hamdan Hamzah.

Mahkamah juga dimaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil 15 saksi untuk perbicaraan semula itu. - BERNAMA