Kerajaan sentiasa menjadikan perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sebagai perkara utama biarpun berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam negara ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbincangan pembukaan sempadan itu sentiasa dalam perbincangan semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dilakukan sekali dalam seminggu.

Katanya penutupan sempadan memberi dua kesan besar iaitu sudut ekonomi dan pelancongan namun pembukaannya memerlukan penelitian kedua pihak supaya ekonomi dan isu kesihatan adalah seimbang.

"Kita harap akan tiba masanya, secara perlahan sempadan dibuka akan bantu pulihkan ekonomi negeri Johor. Ini perkara dibincangkan sepanjang masa, kita mesyuarat seminggu sekali.

“Terkini, kita adakan mesyuarat pada Isnin lalu, kita bincangkan sektor pelancongan. Kita tahu separuh pelancong 50 peratus datang dari Singapura. Kita faham bagaimana sektor pelancongan terkesan dengan keadaan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke flat Larkin di Johor Bahru.

Mustapa berharap sempadan dapat dibuka pada masa tertentu namun tertakluk kepada perundingan kedua-dua pihak.

“Selain EAC, perbincangan berkaitan pembukaan sempadan secara berterusan juga dilakukan menerusi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, Johor adalah negeri yang paling terkesan dengan penutupan sempadan antara kedua-dua negara.