Perbincangan tarif air dengan negeri masih berlangsung

Bernama
Februari 7, 2020 02:10 MYT
XAVIER JAYAKUMAR: Kajian semula tarif air bukan sesuatu yang baharu. -Gambar fail
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli masih mengadakan perbincangan dengan negeri-negeri bagi melaksanakan kajian semula tarif air di negara ini.
Menteri berkenaan Datuk Dr A. Xavier Jayakumar berkata perbincangan berhubung perkara itu telah berlangsung sejak 15 hingga 20 tahun lepas namun tiada keputusan muktamad.
"Kajian semula tarif air bukan sesuatu yang baharu, " katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Terdahulu, beliau menjadi tetamu Concorde Club yang membincangkan mengenai perlindungan sumber semula jadi dan hidupan liar di negara ini.
Xavier berkata terdapat negeri mempunyai masalah dari segi bekalan air perindustrian dan tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan, kawasan terlibat masih mengalami masalah tekanan air.
Sementara itu, Xavier yang menganggap air sebagai isu hak asasi manusia, berkata penyertaan sektor swasta diperlukan untuk pembangunan industri air negara.
Oleh itu, katanya pindaan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) akan menyelaras prosedur dan peraturan dalam pelaksanaannya.
Untuk rekod, cadangan pelaksanaan mekanisme itu melibatkan kenaikan sebanyak 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, cukup rendah berbanding bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas dan telekomunikasi.
Purata kadar tarif air semasa adalah RM1.38 setiap 1,000 liter berbanding kos sebenar RM2.31 bagi setiap 1,000 liter.
-- BERNAMA
#Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 #Dr A Xavier Jayakumar #Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli #perlindungan sumber semula jadi #tarif air #Wasia