KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghadiri majlis tayangan pra-tonton filem ‘Anwar, The Untold Story’ yang diadakan pada Isnin di Dadi Cinema Pavilion, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan daripada DMY Creation dan Yusrych Global pada Ahad, majlis tayangan tersebut akan bermula dengan kehadiran tetamu pada jam 7 petang dan diikuti dengan ketibaan Ahli Parlimen Tambun itu pada 8.30 malam.

Tayangan filem tersebut dijadualkan bermula pada jam 9 malam diikuti dengan sidang media bersama media pada jam 10.30 malam.

Anwar akan menonton filem tersebut bersama 258 tetamu VIP yang terdiri daripada penggiat industri hiburan, tokoh politik dan selebriti.

Antara tetamu yang menghadiri majlis berkenaan adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin; komposer dan penyanyi terkenal, Datuk Seri M Nasir, pengasas DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff; pelakon, Fauziah Ahmad Daud; penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan; pengarah, Datuk Yusof Haslam; pengarah, Datuk David Teo dan lain-lain.

Filem bawah arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu, menampilkan pelakon, Farid Kamil yang membawa peranan sebagai Anwar manakala Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Filem itu mengisahkan perjalanan politik Anwar yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam memperjuangkan usaha menentang amalan korupsi di negara ini.

Filem itu digarap berdasarkan kisah sebenar berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1993 hingga dipecat pada 1998.

Filem terbitan Bianglala Entertainment ini menjalani penggambaran di Malaysia dan Indonesia dengan kos sebanyak RM10 juta.

Tayangan umum filem ‘Anwar, The Untold Story’ akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 18 Mei tahun ini.