NATIONAL

Perdana Menteri Laos adakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia

Astro Awani 24/05/2025 | 01:30 MYT
Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia hari ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia hari ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022.

Dalam lawatan ini, Sonexay diiringi isteri beliau, Vandara Siphandone selain delegasi yang terdiri daripada menteri-menteri serta pegawai kanan kerajaan Laos.

Ketibaan beliau akan disambut secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dua hala sedia ada, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh baharu, pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global dengan penekanan kepada peranan penting ASEAN sebagai platform yang kukuh dan responsif dalam menangani cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin kompleks.

Lawatan rasmi ini berlangsung menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang bakal diadakan pada 26 dan 27 Mei di Kuala Lumpur – mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Laos.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan nilai AS$21.9 juta (RM99.7 juta), dengan eksport Malaysia ke Laos berjumlah AS$14.9 juta (RM67.8 juta) dan import bernilai AS$7.0 juta (RM31.9 juta).

Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar di Laos dengan jumlah pelaburan mencecah A$942 juta merangkumi 46 projek berdaftar.

Pelaburan tersebut tertumpu dalam sektor tenaga boleh baharu, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel.




#PM Laos #Sonexay Siphandone #lawatan rasmi #PM Anwar Ibrahim #ASEAN25 #ASEAN2025