Perdana Menteri seru Keluarga Malaysia berpegang pada konsep Tasamuh

Astro Awani
Mei 1, 2022 14:16 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep Tasamuh selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat Malaysia menghargai dan memahami nilai perbezaan.
KUALA LUMPUR: Keluarga Malaysia diseru untuk berpegang kepada konsep Tasamuh, iaitu ajaran Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep Tasamuh selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat Malaysia menghargai dan memahami nilai perbezaan.
"Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (toleransi) dalam bermasyarakat.
"Tasamuh adalah salah satu bentuk akhlak terpuji dan amat diperlukan dalam kehidupan sehari-hari. Dalam bermasyarakat, tasamuh adalah sikap yang penting untuk diterapkan. Dengan tasamuh, seseorang akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.
"Ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar ‘tagline’ semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat sejahtera," katanya dalam perutusan khas Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan malam ini.
Tambahnya, COVID-19 merupakan dugaan yang menginsafkan tetapi di sebalik cabaran itu, Keluarga Malaysia membuktikan kekuatan dan keutuhan dalam mendepani cabaran, dan solidariti ini menjadi teras untuk kerajaan memberikan fokus kepada usaha memacu pemulihan negara.
"Ujian pandemik COVID-19 yang berlaku selama dua tahun ini menjadikan kita semakin menginsafi diri. Namun, di sebalik setiap cabaran dan dugaan yang dilalui, Keluarga Malaysia telah membuktikan kekuatan dan keutuhan mendepani cabaran.
"Solidariti Keluarga Malaysia inilah yang menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara, agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka," katanya lagi.
#Aidilfitri #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #Islam #Tasamuh