MALAYSIA
Perdana Menteri yakin Malaysia akan lebih gemilang dengan kerja keras pemimpin, rakyat

Muhyiddin bersama isteri menyertai tetamu lain menggaul 'Yee Sang' sebagai simbolik kepada sambutan perayaan itu - Gambar/ Facebook@Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR:Perdana Menteri sekali lagi mengakui pandemik COVID-19 memberi cabaran yang besar kepada rakyat dan negara, namun beliau yakin Malaysia mampu bangkit seterusnya menjadi lebih gemilang masa akan datang.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia dapat dicapai dengan kerja keras pimpinan negara serta kerjasama seluruh lapisan masyarakat.
"Saya (juga) percaya kedatangan tahun baharu ini akan membangkitkan iltizam yang lebih jitu daripada rakyat, khususnya masyarakat Tionghua untuk bekerja lebih keras bagi memperoleh kejayaan atau kemenangan dalam apa juga cabaran yang dilalui," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pesanan ringkas ketika meluangkan masa menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan secara maya hari ini. Pesanan itu dikongsi di laman Facebook rasminya.
Majlis rumah terbuka itu turut disertai pimpinan tertinggi parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Sementara itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Gerakan di atas jemputan menghadiri sambutan tersebut yang disifatkan cukup meriah dan bermakna walaupun disambut secara dalam talian.
Menerusi sambutan dalam norma baharu itu, Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut menyertai tetamu lain menggaul ‘Yee Sang’ sebagai simbolik kepada perayaan itu.
Gerakan pada Khamis mengesahkan telah menjadi parti politik terbaharu diterima menyertai gabungan PN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami