KUALA LUMPUR: Pereka bebas Toh Wei Hang, 26, muncul sebagai pemenang Pertandingan Reka Bentuk Perabot (FDC) pada Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF), membawa pulang hadiah utama RM5,000 untuk kerusi Mu-shi (gelaran unsur kayu dan batu dalam bahasa Cina).

Bagi tempat tempat kedua dengan hadiah RM3,000 ialah Siti Mehran Yasmine dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk "Kerusi Lounge Kumbu", manakala hadiah ketiga bernilai RM2,000 disandang oleh Muhammad Shafitri Aiman dari UITM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah untuk " Kerusi Ura", iaitu kerusi di ruang istirahat yang memiliki ruang simpanan.

Bercakap kepada Bernama di majlis penyampaian anugerah itu semalam, Toh berkata kerusi Mu-shi miliknya adalah gabungan antara unsur kayu dan batu yang berasal daripada kayu dan batu yang dilihatnya ketika mengunjungi Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

"Anugerah ini adalah platform yang bagus untuk mempromosikan bakat-bakat muda ke peringkat antarabangsa, terutamanya pereka bebas seperti saya yang tidak mempunyai banyak peluang untuk mendedahkan karya seni kami kepada dunia.

"Jadi dengan memenangi anugerah ini, ia adalah pengalaman hebat untuk mempromosikan diri dan rekaan saya," katanya.

Sementara itu, Siti Mehran dari UMK berkata "Kerusi Lounge Kumbu" beliau diilhamkan dari hutan Malaysia dan pokok kekipas, disepadukan dengan kraf tradisional Melayu serta motif fabrik tradisional yang dipanggil Pua Kumbu.

Sebagai projek tahun akhirnya, beliau berkata reka bentuk itu bertujuan untuk mempromosikan identiti budaya tempatan di peringkat antarabangsa.

"Saya berasa gembira dan berbesar hati dengan pengiktirafan ini. Saya berterima kasih kepada mentor saya dan semua yang membantu saya dalam menyelesaikan projek ini," katanya. 

Pengasas dan Pengerusi MIFF Datuk Dr Tan Chin Huat (kanan) bersama Naib Presiden Informa Markets Asia Ian Roberts (tiga, kiri) menyampaikan anugerah kepada Siti Mehran (dua, kanan) pada majlis di Kompleks MITEC, Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA

Untuk tahun ini, cabaran MIFF FDC adalah untuk pengimejan semula perabot yang paling penting sepanjang masa di bawah tema "Chair-Volution" (Revolusi-Kerusi) dalam meraikan inovasi dan reka bentuk sempena ulang tahun MIFF ke-30.

"Berlangsung pada hari ketiga MIFF, anugerah itu terdiri daripada FDC MIFF dan dua hadiah pempamer -- Anugerah Persembahan Terbaik untuk gerai terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Perabot untuk produk cemerlang," kata MIFF dalam satu kenyataan semalam.

Menurut MIFF, Pencapaian Cemerlang telah dianugerahkan buat pertama kali untuk tahun ini.

"Anugerah itu diberikan kepada sofa upholsteri aneh 'Mifor' yang diilhamkan daripada logo MIFF dan direka oleh Ong Chia Yong dari Southern University College.

"Siti Nurul Diana Sukri dari Universiti Malaysia Kelantan dinobatkan sebagai Mentor Terbaik dengan hadiah RM2,000, manakala UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah diumumkan sebagai Institusi Terbaik," katanya.

Ketua hakim anugerah Dr Eric Leong, yang mengetuai tujuh orang juri berkata kekurangan reka bentuk perabot berkaitan sumber asli menyebabkan hakim bersetuju untuk menonjolkan kreativiti sebagai kriteria bagi kategori yang dipertandingkan tahun ini.

"Malaysia mempunyai banyak sumber asli dan pengeluar yang baik, tetapi malangnya elemen reka bentuk kita sangat terhad. Jadi kami memikirkan cara untuk mempromosikan reka bentuk ini.

"Jadi, kami membuka pendaftaran untuk institusi-institusi berkenaan. Kami mahu menggalakkan pereka muda memberikan idea mereka tentang industri ini. Dengan itu, kami menganjurkan pertandingan ini," katanya.

FDC MIFF mendapat sambutan yang menggalakkan dengan melibatkan 203 penyertaan daripada lebih 30 institusi reka bentuk dan firma reka bentuk swasta, dan 20 telah dipilih oleh juri untuk pusingan akhir serta karya mereka dipamerkan di MIFF.

Mengenai Anugerah Persembahan Terbaik, MIFF berkata Johann Joann Concept memenangi anugerah itu untuk gerai dan pameran paling kreatif yang menjadi tarikan, di tempat kedua ialah Florence Bed, manakala Luxury Sleep Products memenangi tempat ketiga.

Bagi Anugerah Kecemerlangan Perabot untuk perabot rumah, Anugerah Platinum dimenangi oleh Infab Classics Industries, penerima Anugerah Emas ialah Sinhuiwan Furniture dan Anugerah Perak dimenangi TMH Furniture Industries Sdn Bhd.

Bagi kategori perabot pejabat, Oasis Furniture Industries memenangi Anugerah Platinum, manakala Anugerah Emas kepada Zenith Projects Technology dan Anugerah Perak pula ialah Foshan Yizhong Furniture.

-- BERNAMA