[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
MALAYSIA

Pereka grafik didakwa muat naik hantaran jelik hina agama Islam

Bernama 18/07/2025 | 09:06 MYT
Yeo Li Yin (kanan) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik yang menghina agama Islam pada Jun 2023.


Ringkasan AI
  • Yeo Li Yin, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik yang menghina agama Islam melalui aplikasi Twitter (X) pada 19 Jun 2023.
  • Beliau didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selepas mempertimbangkan rayuan peguam bahawa tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap.


Yeo Li Yin, 47, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi Twitter (kini dikenali X) dengan nama profil 'Liyin Yeo' pada 19 Jun 2023.

Hantaran itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, dekat sini pada 2.15 petang, 22 Jun 2023.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 'tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Yeo memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menjaga bapanya berusia 80 tahun.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA




#pereka grafik didakwa #hina Islam #Yeo Li Yin #hantaran jelik