Pereka tersohor berminat bawa pelaburan baharu ke Malaysia

Bernama
September 24, 2018 20:45 MYT
Dr Mahathir diiringi Dyson ketika hadir melawat Dyson Design and Engineering Centre di Imperial College London pada Isnin. - fotoBERNAMA
Sir James Dyson, inovator British tersohor, menunjukkan minat untuk membawa pelaburan baharu ke Malaysia dan meningkatkan tahap kebolehan jurutera Malaysia melalui pelaburannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, Dyson yang sudah mempunyai pelaburan di Malaysia dengan kemudahannya terletak di Johor menggunakan jumlah jurutera yang ramai.
"Kalau dia (Dyson) teruskan pelaburannya di Malaysia, kita dapat kurangkan jumlah penganggur yang belajar ke peringkat PhD," katanya yang ditemui selepas melawat Imperial College London pada Isnin.
Di universiti terkemuka itu, Dr Mahathir sempat bertemu Dyson yang menunjukkan minat untuk membawa pelaburan baharu ke Malaysia.
BACA: Empat Mesyuarat Dua Hala: Dr Mahathir bakal bertemu Theresa May
BACA: Kuliah utama Tun M di Universiti Oxford dinanti-nantikan
Dr Mahathir berkata kerajaan akan berusaha menukar dasar yang 'menyekat' supaya Dyson lebih tertarik untuk melabur di Malaysia.
"Kita akan (pujuk) dia (untuk terus melabur)," katanya.
Mengenai lawatannya ke Imperial College London itu, Dr Mahathir berkata beliau tertarik dengan bidang automatif yang diusahakan universiti berkenaan yang berusaha menambah kecekapan enjin dan terlibat dalam pembangunan kenderaan elektrik.
-- BERNAMA
#automatif #British #dasar yang menyekat #Imperial College London #inovator #James Dyson #jurutera #London #Mahathir Mohamad #Malaysia #pelaburan #pereka #tahap kebolehan #universiti