MALAYSIA

Pergaduhan di Genting Highlands, polis buka kertas siasatan

Astro Awani 11/07/2025 | 22:40 MYT
Tangkap layar video tular yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh dipercayai di Sky Avenue, Genting Highlands.
BENTONG: Polis Bentong telah membuka kertas siasatan susulan penularan sebuah video berdurasi 55 saat di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki, dipercayai berlaku di Sky Avenue, Genting Highlands, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, memaklumkan pihaknya telah menerima dua laporan polis berkaitan kejadian itu pada hari Jumaat, masing-masing sekitar jam 11.49 pagi dan 12.50 tengah hari.

Menurut Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

“Kami menyeru mana-mana individu yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaiham turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menyebabkan kekeliruan, memandangkan kes masih berada dalam perhatian pihak polis.

Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan, dan pihak berkuasa sedang giat mengesan suspek berdasarkan rakaman video dan maklumat saksi.





#video tular #pergaduhan #kertas siasatan #Sky Avenue