KUALA TERENGGANU: "Saya hanya mahu leraikan pergaduhan sebaliknya dibelasah bertubi-tubi," demikiah luah pegawai pasukan NAG FC, Ronny Irwan Husni.

Lelaki berusia 46 tahun itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) susulan insiden pergaduhan ketika perlawanan Liga Bola Sepak Terengganu (TFL) di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di Kuala Nerus pada petang Jumaat.

Menurutnya, insiden itu berlaku sekitar jam 6 petang, kira-kira 10 minit sebelum perlawanan antara pasukannya menentang KESA FC tamat menyebabkan beliau mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan muka.

"Waktu tu situasi agak tegang kerana berlaku adegan tumbuk-menumbuk antara pemain. Keadaan tu berlarutan dalam tempoh lima minit.

"Jadi sebab tak sampai hati tengok anak buah kena, saya pun pergi tepi padang untuk leraikan pergaduhan. Tiba-tiba ada pihak lawan datang dari arah belakang terajang saya sampai rebah.

"Masa tu saya perasan ada beberapa pemain dari pasukan lawan datang dekat dan sepak saya. Waktu tu saya tak mampu melawan dan hanya berserah pada takdir," katanya.

Beliau ditemani anaknya, Muhammad Fakhrul Aiman, 18, ketika ditemui pemberita di HSNZ dekat sini pada Sabtu.

Ronny Irwan berkata, dia tidak perasan individu yang memukulnya dan hanya mengecam melalui beberapa video yang ditularkan di media sosial.

Katanya, walaupun berdepan pengalaman pahit, namun dia tidak serik untuk kembali ke kancah sukan itu.

"Saya berpengalaman lebih 20 tahun dalam sukan bola sepak dan ini kali pertama saya menerima nasib tidak baik sebegini.

"Kata orang inilah pengalaman pahit manis dalam dunia sukan. Bukan bidang sukan sahaja, dalam apa jua bidang ada pengalaman yang berbeza-beza.

"Saya akan kembali bangkit selepas ini untuk terus memajukan sukan bola sepak tempatan," ujarnya yang mengharapkan siasatan adil dapat dilakukan terhadap insiden itu.

Malam Jumaat tular video berdurasi 42 saat memaparkan insiden memalukan itu yang dikatakan berlaku sebelum perlawanan antara pasukan NAF FC dan KESA FC tamat.

Berdasarkan video berkenaan, insiden pergaduhan dipercayai melibatkan pemain dan penyokong dari kedua-dua pasukan yang bertanding pada hari berkenaan.

Difahamkan perlawanan yang memasuki minggu keenam itu menyaksikan NAG FC mengutip mata 4-1 mendahului KESA FC. - Sinar Harian