NATIONAL
Pergerakan lancar, kemungkinan penculikan Pamela Ling dirancang
Pada 9 April, Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kes penculikan membabitkan Datin Seri Pamela Ling Yueh dirancang sendiri.
Ringkasan AI
- Polis Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan bahawa kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh mungkin telah dirancang sendiri, namun siasatan masih di peringkat awal.
- Berdasarkan rakaman CCTV, polis mendapati mangsa memberi kerjasama tanpa sebarang pergelutan, dan pergerakan penculikan berjalan lancar.
- Polis sedang menyiasat semua aspek kes ini untuk menentukan sama ada insiden tersebut benar-benar satu penculikan atau sesuatu yang telah dirancang oleh mangsa sendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, berkata siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan penculikan itu merupakan satu perancangan sendiri.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, polis mendapati mangsa mengikut arahan suspek tanpa sebarang pergelutan.
Malah kata beliau, segala pergerakan perculikan itu juga bergerak lancar.
"Kalau kita tengok dalam CCTV, mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda tidak mahu bekerjasama. Dia ikut sahaja. Pemandu Grab itu pun nampak okay. Bila diminta IC (kad pengenalan), dia serahkan.
"Lepas itu, pemandu beredar. Dia cuma buat laporan selepas itu sebab kad pengenalan dia tidak dipulangkan. Keseluruhan kejadian itu berlaku dengan cepat, tidak ambil masa lama pun.
"Jadi setakat ini, kita tidak menolak... kita sedang menyiasat semua aspek termasuk kemungkinan insiden itu direka atau dirancang mangsa sendiri. Namun, siasatan masih di peringkat awal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Pada 9 April, Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan, untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan dan polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.