[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Pergerakan pengakap perlu diangkat sebagai wadah pendidikan tidak formal

Bernama 15/12/2025 | 20:45 MYT
Mohammed Mukhyuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Pingat Pengakap Negeri, Malam Apresiasi KLScouts di The Urban pada Isnin malam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pergerakan pengakap perlu diangkat sebagai wadah pendidikan tidak formal dalam usaha melahirkan pemimpin dan individu yang bertanggungjawab, melangkaui peranannya sebagai pertubuhan beruniform semata-mata.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Mohammed Mukhyuddin Sarwani berkata dalam mendepani cabaran semasa, peranan pergerakan itu dalam pembentukan karakter, sahsiah dan nilai kemanusiaan semakin relevan.

"Pengakap bukan sekadar sebuah pertubuhan beruniform, tetapi sebuah gerakan pendidikan bukan formal yang melahirkan pemimpin masa depan, warganegara bertanggungjawab dan insan yang berbakti dengan penuh keikhlasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini Isnin malam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Mohd Hilmi Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Zamri Saiman dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah.

Majlis itu turut menyaksikan sebanyak 237 orang menerima Sijil Wangsa Pengakap Wilayah, iaitu sijil kepujian Ketua Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dianugerahkan kepada pemimpin dan individu yang banyak berbakti kepada pergerakan pengakap di negeri itu.

Mohammed Mukhyuddin berkata anugerah berkenaan bukan sekadar simbol penghormatan, tetapi pengiktirafan terhadap komitmen, kesetiaan dan khidmat bakti yang berterusan kepada gerakan pengakap.

"Saya berharap agar penganugerahan ini menjadi penyuntik semangat untuk para penerima terus melangkah ke hadapan, memimpin dengan hikmah dan memperkukuh nilai-nilai pengakap dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda," katanya.

-- BERNAMA






#pergerakan pengakap #pendidikan #tidak formal #badan beruniform #sahsiah