Pergerakan penumpang Malaysia Airports pada suku ketiga 2025 naik kepada 40.6 juta

Mohd Izani berkata lapan syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi di Malaysia tahun ini, sekali gus mengukuhkan lagi keterhubungan udara global negara. - Gambar fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Group mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 40.6 juta pada suku ketiga tahun ini termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
Dalam suku ketiga (S3 2025) ini menyaksikan pertumbuhan 12.2 peratus berbanding 36.2 juta penumpang yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, bagi operasi domestik kumpulan Malaysia Airports, jumlah pergerakan penumpang meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 26.9 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding 24.9 juta yang dicatatkan pada suku ketiga tahun lalu.
"Sebagai pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 16.3 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1.2 juta penumpang atau 7.75 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama pada 2024," katanya.Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata lapan syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi di Malaysia tahun ini, sekali gus mengukuhkan lagi keterhubungan udara global negara.
"Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, kami terus mengembangkan laluan baharu dan menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan merentas pasaran utama di ASEAN, Asia Selatan, Asia Timur Laut, Asia Tengah, Timur Tengah, Eropah dan Barat Daya Pasifik.
"Usaha yang dilakukan ini mengesahkan komitmen kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan penerbangan serantau, menghubungkan lebih ramai penumpang dan destinasi sambil terus meningkatkan pengalaman penumpang dan kecemerlangan operasi," katanya.
Bagi suku ketiga, dua syarikat penerbangan baharu memulakan operasi di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan syarikat penerbangan kepada 75 termasuk Jiangxi Air dengan laluan Nanchang-Kuala Lumpur dan Hong Kong Express yang mengendalikan perkhidmatan Hong Kong-Subang, kata pengendali lapangan terbang itu.
Dalam tempoh yang sama, 12 laluan baharu telah diperkenalkan termasuk sambungan antara Taiyuan-Wuhan-Kuala Lumpur oleh China Eastern Airlines.
Sementara itu, ISGIA mengekalkan trajektori pertumbuhan yang kukuh dengan merekodkan 13.7 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, peningkatan 21.2 peratus tahun ke tahun berbanding 11.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pertumbuhan ini terutamanya disebabkan oleh trafik antarabangsa yang meningkat sebanyak 26.1 peratus kepada 7.4 juta daripada 5.9 juta penumpang, sekali gus menekankan kedudukan lapangan terbang itu sebagai hab transit utama antarabangsa dan pintu masuk pilihan untuk kesalinghubungan serantau, kata Malaysia Airports.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami