DREBAR
Perhatian, warga Kelantan khususnya. Ada jalan baharu untuk balik kampung
Sebahagian Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dibuka secara rasmi semalam, melibatkan empat jajaran daripada keseluruhan 390km projek yang bermula dari Bentong ke Gua Musang, Kelantan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembukaan jajaran itu akan mengurangkan jarak perjalanan asal sepanjang 43.7 km kepada 37.4 km sekali gus masa perjalanan dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada hanya 20 minit, walaupun hanya melibatkan pengurangan jarak sejauh enam kilometer.
"Jalan baharu ini adalah jalan lurus. Tapi jangan ada yang beranggapan jalan lurus ini seolah-olah beri isyarat mereka boleh memecut. Sebaiknya ikut peraturan yang ditetapkan dan perlu berhati-hati."
Katanya ia menjadi alternatif terbaik kepada pengguna jalan raya dari Selatan dan Kuala Lumpur yang ingin pulang ke Kelantan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri selain melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1.

"Laluan itu melibatkan empat seksyen iaitu Seksyen 3F1 dan Seksyen 3F2 sepanjang 13.2 km, dari Kampung Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah di sini, yang mula dibuka pada 10 Jan dan 5 Julai lalu.”
"Laluan kedua melibatkan Seksyen 3G dan Seksyen 3H dari Felda Chegar Perah 2 ke Kampung Kechur sepanjang 24.2 km yang mula rasmi dibuka hari ini," kata beliau selepas merasmikan pembukaan laluan baharu itu.
Ditanya sekiranya bayaran tol akan dikenakan di laluan baharu itu, Fadillah berkata: "Seperti namanya CSR, laluan ini juga merupakan CSR (tangggungjawab sosial korporat) kerajaaan kepada orang Pahang dan Kelantan."
Laluan itu merupakan 10 peratus daripada jarak keseluruhan projek itu iaitu 390 km, yang mana skop pembinaannya melibatkan pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR). Secara keseluruhan, projek ini dianggarkan akan bernilai RM6.6 bilion apabila siap sepenuhnya.
Sumber: Bernama
Imej: Facebook JKR