JITRA: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) berharap peruntukan yang lebih besar dapat dipertimbangkan khas dalam Belanjawan 2023, yang akan diteliti semula kerajaan baharu bagi membolehkan perbadanan itu meneruskan program dan latihan kepada bakal pesara, serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah PERHEBAT Zakariah Md Sam berkata perbelanjaan perbadanan itu, pada masa ini adalah di bawah Kementerian Pertahanan.

"Jadi, saya harap dalam Belanjawan 2023 nanti, kerajaan dapat memberi pertimbangan khas kepada pembelaan bakal pesara dan veteran ATM, dengan memberi peruntukan yang lebih supaya program dan latihan yang sedia ada dapat diteruskan dan diperhebatkan lagi.

"Program dan latihan yang ditawarkan itu, bertujuan melatih dan membimbing bakal pesara dan veteran tentera untuk meneruskan kehidupan, selepas menamatkan perkhidmatan dan seterusnya menceburi kerjaya kedua di dunia awam nanti," katanya ketika ditanya mengenai harapan PERHEBAT dalam Belanjawan 2023.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil PERHEBAT kepada 145 bakal pesara, yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Datuk Najmi Ahmad di sini hari ini.

Pada 5 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan diteliti semula dan diubah suai dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kabinet kerajaan perpaduan yang baharu.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata beliau akan memberi ruang kepada Kementerian Kewangan serta jemaah menteri, bagi menambah baik Belanjawan 2023 yang sedia ada.

Sementara itu, Najmi berkata kerajaan negeri memberi komitmen dalam segala inisiatif untuk melestarikan kesejahteraan hidup bakal pesara dan veteran ATM, yang telah banyak berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya menyeru agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta untuk menyediakan kuota khas peluang pekerjaan kepada mereka, kerana dengan segala kepakaran, kemahiran dan pengalaman dalam perkhidmatan ATM, pastinya mereka berupaya memberi sumbangan besar dalam pelbagai industri.

"Industri di Kedah juga semakin berkembang dengan pertambahan pelaburan dan sudah pastinya memerlukan tenaga pekerja yang ramai dan saya lihat mereka ini bakal menjadi antara satu sumber yang dapat memenuhi keperluan pasaran kerja di Kedah," katanya.

-- BERNAMA