Perhilitan Negeri Sembilan rampas 12 ekor tarantula

Bernama
Oktober 23, 2021 03:46 MYT
Tarantula yang dirampas disimpan oleh Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan merampas 12 ekor pelbagai spesies tarantula (kumpulan labah-labah yang besar dan berbulu) hasil pemeriksaan penguatkuasaan ke atas sebuah premis di sini, pada 6 Okt lepas.
Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli berkata hidupan liar berkenaan disimpan si pemiliknya tanpa sebarang dokumen penyimpanan sah yang dikeluarkan pihak Perhilitan Semenanjung Malaysia.
Jelasnya, laporan polis kemudian dibuat petugas agensi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2.
"Kesemua barang rampasan itu dibawa ke pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara sehingga maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
#hidupan liar #Perhilitan #tarantula #polis