MALAYSIA
Perhilitan pantau kehadiran harimau di Hulu Dungun

Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang memantau kehadiran seekor harimau kumbang di Kampung Belimbing di Hulu Dungun. - Foto FB Ghazali Sulaiman
DUNGUN: Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang memantau kehadiran seekor harimau kumbang di Kampung Belimbing di Hulu Dungun, di sini.
Pengarahnya Loo Kean Seong berkata ia susulan aduan penduduk kampung yang mendakwa melihat kelibat haiwan liar itu berkeliaran di sekitar kampung.
Beliau berkata pihaknya akan membuat pemantauan terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan lanjut seperti memasang perangkap.
"Saya minta penduduk kampung tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri."Orang ramai yang ternampak kelibat harimau atau ternampak kesan tapak kaki terbaharu sila maklumkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil," katanya ketika dihubungi.-- LAGI
Sementara itu, penduduk Tuan Zahari Tuan Lasan, 63, berkata pada malam Ahad lepas beliau terdengar bunyi ayam berkokok dengan kuat dari depan rumah.
Selepas diperiksa beliau mendapati seekor harimau sedang meratah ayam peliharaannya.
"Misteri kehilangan 20 kilogram daging dalam kotak ais yang saya letak di hadapan rumah beberapa hari lalu terjawab.
"Saya ingatkan orang yang curi, rupa-rupanya harimau. Berderau darah apabila memikirkan kemungkinan terserempak dengan haiwan ganas itu," katanya.
Beliau berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk kampung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami