IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan penemuan tapak kaki harimau belang di beberapa lokasi di sekitar Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan dan menjalankan pemantauan selepas menerima laporan daripada penduduk kampung semalam, berhubung penemuan tapak kaki haiwan pemangsa terbabit.

"Semalam, kita jumpa tapak kaki harimau ini di kawasan kebun pisang milik penduduk dan hari ini, kita sekali lagi temukan tapak yang sama di kandang lembu berhampiran kebun berkenaan.

"Setakat ini, kita tak dapat perincikan dengan lebih jelas umur dan berat harimau berkenaan kerana kita hanya temukan bukti tapak kaki semata-mata, cuma apa yang boleh disahkan harimau itu telah mencapai tahap dewasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Perhilitan Perak berjaya menangkap seekor harimau belang jantan berusia empat tahun dan berat dalam lingkungan 90 kilogram (kg) menggunakan tembakan pelali di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai di sini.

Haiwan pemangsa dengan nama saintifik Panthera Tigris Jacksoni itu dipercayai harimau sama yang dikesan berkeliaran di laluan sekitar Kampung Orang Asli Tonggang ke Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta sejak 14 Dis lepas.

Dalam pada itu, Yusoff turut menasihati orang ramai supaya melaporkan segera kepada pihaknya jika terserempak dengan haiwan liar berkenaan selain tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan nyawa.

"Kita juga minta penduduk yang mempunyai ternakan agar mengurung dan tidak membiarkan haiwan ternakan masing-masing berkeliaran buat masa ini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kolam Sufi Syahmi Izhar, 24, ketika dihubungi berkata dia berharap harimau terbabit dapat ditangkap oleh pihak Perhilitan untuk menghilangkan kebimbangan masyarakat setempat.

"Memang sebelum ini dimaklumkan orang kampung bahawa kawasan ini pernah ditemukan tapak kaki harimau cuma kali ini apabila Perhilitan sahkan tapak kaki itu milik harimau, memang kami agak bimbang juga.

"Sebabnya, kawasan kebun serta kandang yang ditemukan tapak kaki harimau itu juga sangat dekat dengan kawasan penduduk. Jadi, kami harap pemantauan kerap perlu dilakukan bagi mengelak perkara buruk berlaku," katanya.

-- BERNAMA