Skip to main content

Malaysia

Perhilitan sedang kesan sekumpulan gajah liar di LPT2

Gajah Liar PERHILITAN
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang mengesan sekumpulan gajah liar yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh malam tadi. - Gambar fail/hiasan/BERNAMA
Advertisement

CHUKAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang mengesan sekumpulan gajah liar yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh di sini malam tadi.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata pemantauan dilakukan menggunakan dron bagi mengesan lokasi dan pergerakan kumpulan gajah berkenaan di sekitar lokasi kejadian.

Beliau berkata kumpulan gajah itu dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Bukit Bandi yang terletak sejauh lapan kilometer dari lokasi kemalangan.

Seramai enam petugas Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kemalangan bagi mengawal dan memantau  sekitar kawasan Cheneh bermula pada 12.30 tengah malam tadi.

“Tindakan itu diambil bagi mengenal pasti lokasi serta pergerakan kumpulan gajah berkenaan, selain memastikan keselamatan pengguna lebuh raya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Perhilitan juga akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kumpulan gajah berkenaan dikesan masih berada berhampiran lebuh raya.

Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya terserempak dengan gajah liar, dan jangan memprovokasi haiwan itu dengan menghampiri atau membaling sebarang objek.

Beliau berkata pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak membunyikan hon, menyalakan lampu tinggi atau menggunakan lampu denyar ke arah gajah bagi mengelakkan haiwan itu berasa terancam atau bertindak agresif.

“Pengguna jalan raya juga diminta memberikan laluan kepada gajah untuk melintas dengan selamat serta mengekalkan jarak yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu Bernama melaporkan sepasang suami isteri cedera selepas MPV yang dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah liar di lokasi berkenaan pada 10.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian itu mangsa Abdul Wahid Ismail, 55, mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri, manakala isterinya, Fauziah Muda, 52, cedera di tangan kanan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement