KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, berjaya menangkap seekor gajah liar betina yang dilaporkan berkeliaran di Kampung Jeram Hilir dan Jeram Manir, dekat sini kira-kira tengah malam tadi.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata hidupan liar yang mempunyai ukuran tapak kaki sebesar 16 inci itu, dijumpai berkeliaran di kawasan sebuah kampung di sekitar Kuala Terengganu.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata operasi pembiusan menggunakan pelali telah dijalankan kira-kira 12 tengah malam atas faktor risiko keselamatan penduduk, sebelum ditambat untuk tindakan untuk tindakan selanjutnya.
“Mengambil kira risiko keselamatan penduduk kampung dan situasi semasa, kerja pembiusan telah dilakukan dan gajah berkenaan telah ditambat sebelum dipindahkan ke lokasi tertentu.
“Berdasarkan pemerhatian awal, gajah berkenaan dalam keadaan stabil dan sihat. Persediaan untuk proses pemindahan sedang berjalan dan akan dilaksanakan pada masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dennis berkata pemantauan secara berterusan juga sedang dijalankan oleh anggota Perhilitan di lokasi tangkapan, sehingga kerja pemindahan selesai dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mendekati lokasi berkenaan bagi mengelak gangguan atau tekanan kepada hidupan liar itu.
“Kedatangan orang ramai dengan bunyi bising akan menyebabkan gajah stress dan dikhuatiri berlaku kejadian tidak diingini. Kita minta orang ramai beri ruang secukupnya kepada Perhilitan, untuk mengurus penjagaan gajah yang ditangkap,” katanya.
-- BERNAMA