Perhimpunan Agung PBB pilih bekas presiden Iraq sebagai Pesuruhjaya Tinggi UNHCR

Pelantikan itu menjadikan Ahmed sebagai individu pertama dari Asia Barat menerajui jawatan berkenaan dalam tempoh hampir tiga perempat abad. - Foto X/UN News
HAMILTON: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memilih bekas Presiden Iraq Barham Ahmed Salih sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pelantikan itu menjadikan Ahmed sebagai individu pertama dari Asia Barat menerajui jawatan berkenaan dalam tempoh hampir tiga perempat abad, dengan tempoh perkhidmatannya bermula 1 Jan 2026 selama lima tahun.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengalu-alukan pemilihan Ahmed dan "menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan" kepada Pesuruhjaya Tinggi UNHCR yang akan tamat tempoh perkhidmatannya, Filippo Grandi, atas "kepimpinan serta usaha gigih beliau dalam melindungi pelarian, individu terpaksa berpindah dan golongan tanpa kewarganegaraan."
Dengan merujuk kepada peranan politik dan diplomatik Ahmed sebelum ini, kenyataan itu turut menyebut: "Beliau memainkan peranan penting dalam pembinaan semula Iraq pasca-2003 dan pemulihan ekonominya, termasuk rundingan Perjanjian Antarabangsa bagi Iraq bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia."
Grandi turut mengalu-alukan pemilihan Ahmed, sambil menyatakan beliau "membawa pengalaman puluhan tahun dalam perkhidmatan awam peringkat tinggi, yang dicirikan oleh kepimpinan berterusan dan diplomasi berhemah."
"Berasal dari sebuah negara yang baru-baru ini dilanda konflik, penindasan dan perpindahan penduduk, beliau mempunyai pengalaman langsung terhadap cabaran yang dihadapi ramai pelarian hari ini.
"Latar belakang dan pengalaman beliau menjadikannya individu yang sesuai untuk menerajui UNHCR pada ketika berlakunya perpindahan berskala besar serta cabaran kemanusiaan dan politik yang semakin kompleks," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


