MALAYSIA

Perhimpunan Agung UMNO: Tiada usul keluar Kerajaan Perpaduan diterima - Asyraf Wajdi

Bernama 09/01/2026 | 11:00 MYT
Asyraf Wajdi berkata kesemua usul itu diterima hasil persidangan UMNO Bahagian tahun lepas melibatkan 175 daripada keseluruhan 191 bahagian dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 133.
KUALA LUMPUR: UMNO menerima 662 usul daripada 175 bahagian sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 pada minggu depan dengan tiada usul mencadangkan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata kesemua usul itu diterima hasil persidangan UMNO Bahagian tahun lepas melibatkan 175 daripada keseluruhan 191 bahagian dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 133.

"Usul kebanyakannya berkisar dalam konteks politik, agama, pendidikan dan ekonomi dengan antara usul paling panas atau paling banyak dihantar ialah menuntut keadilan serta pengampunan penuh untuk Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata UMNO Bahagian juga tidak mengusulkan kerjasama dengan parti politik lain termasuk PAS, namun mereka tidak menghalang mana-mana jurucakap daripada membangkitkan pandangan atau sentimen akar umbi semasa perbahasan.

Asyraf Wajdi berkata sebanyak 6,412 perwakilan telah mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang).

Beliau berkata wakil MCA, MIC dan Friends of Barisan Nasional telah mengesahkan kehadiran pada perasmian persidangan tersebut.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata tiada wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan dijemput menghadiri perhimpunan itu memandangkan ia memberi tumpuan penuh kepada urusan dalaman parti selain bagi memberi ruang kepada perwakilan dan jurucakap sayap UMNO untuk menyuarakan pandangan secara terbuka.

Beliau berkata perhimpunan akan bermula pada 13 Jan dengan beberapa program pemanas melibatkan wacana ilmiah, pendidikan dan pemerkasaan parti termasuk Mutaqqaf Ilmuan Islam, Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO serta Simposium Politik Era Digital.

Perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri dijadualkan pada 14 Jan di Dewan Merdeka dan diteruskan dengan persidangan sayap pada keesokannya.

Perhimpunan Agung UMNO pula bermula secara rasmi pada 16 Jan dengan majlis menaikkan bendera sebelum ucapan dasar Presiden UMNO diikuti sesi perbahasan.

-- BERNAMA


#PAU 2025 #Perhimpunan Agung UMNO 2025 #Asyraf Wajdi Dusuki #usul keluar kerajaan